Sunday, February 6, 2022

TAK HAFAL SIFIR?

 

Di atas meja Puan Bad ada sebuah bekas pensil bersaiz sederhana besar.  Di tengah-tengah susunan pensil dan dua batang pen,  terdapat sebatang kayu kecil. 

 

Aku tidak pernah ambil tahu apa fungsi kayu tersebut,  sehinggalah pada satu hari Puan Bad menggunakan kayu itu untuk memukul Nawfal yang enggan masuk ke dalam kelas.

 

Bagaimana harus aku bertahan?  Aku sudah menegurnya dengan cara baik,  tetapi disanggah pula.  Kebanyakan cikgu juga berpihak kepada Puan Bad.  Bagi mereka,  jerit, ugut, bentak,  marah adalah cara terbaik untuk mendidik.

 

Wajah Puan Bad sering mengganggu tidur hingga bacaan darahku naik akibat kurang tidur.  Aku takut untuk pergi kerja tetapi aku perlu kental kerana inilah sahaja punca pendapatanku.

 

“Puan kerja sebagai apa?  Tinggi sangat bacaan darah puan,  sudah 3 minggu berturut bacaan tetap sama.”

 

“Puan, bacaan 180/90 secara konsisten sangat tidak baik.”

 

“Puan ada pening kepala atau muntah-muntah?”

 

Bertalu-talu pertanyaan doktor. 

 

Aku menghela nafas.

 

“I’m a kindy teacher.  I work long hours and my job is very stressful.  I feel my head is cracking, sometimes it feels like ants are all over my head.”

 

“You need help Puan.  I’ll give you 3 days medical leave.  You need a lot of rest.”

 

“No doctor.  I can’t afford to take leave.  If I’m not around, my superior will take over my class and she will beat my students.  I don’t want that to happen.”

 

Sepanjang 18 bulan aku bekerja di situ,  tidak pernah aku mengambil cuti walaupun separuh hari.  Aku perlu melindungi anak-anak muridku dari dipukul oleh Puan Bad.

 

“Aiman,  baca sifir 2 sekarang.”  Puan Bad sudah mula mahu menguji hafalan murid berumur 6 tahun. 

 

Aiman membaca dengan tergagap-gagap kerana dia adalah murid baru dan belum hafal sifir.

 

“Apa?  Tak tahu?  Dah besar pun tak hafal lagi?”

 

Serentak dengan itu Puan Bad menampar pipi Aiman kiri dan kanan hingga Aiman menangis kesakitan.

 

Aku hanya mampu melihat Aiman menganga-nganga menahan sakit.  Air mataku laju mengalir melihat Aiman menangis. 

 

Aku tidak mampu bangun walaupun selangkah. 

 

Pada ketika itu,  aku harap Puan Bad segera mati.


No comments:

Post a Comment

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...