Saturday, February 5, 2022

Daun Ketumbar atau Daun Sup?



Aisha gemar menolong ibunya memasak.  Setiap hari, Aisha akan bangun awal pagi untuk membantu ibunya menyediakan sarapan.

 

“Aisha nak ikut ibu ke pasar?”  tanya Puan Lia.

 

“Yayyyy,  mestilah nak ikut, Aisha suka tengok sayur-mayur dan ikan segar,” kata Aisha sambil membuat aksi lompat bintang.

 

“Sebelum kita keluar membeli-belah, mari kita senaraikan dahulu barang yang kita nak beli,”  kata Puan Lia.

 

“Senarai ini penting, supaya kita tidak terlupa apa yang mahu dibeli.  Ingat,  tulis apa yang kita penting sahaja, supaya tidak terlebih berbelanja,” jelas ibu Aisha lagi.

 

“Hari ini,  ibu nak beli satu ikat daun sup, satu ikat daun ketumbar dan dua ekor ayam.” 

 

Daun sup?  Daun ketumbar?   Inilah pertama kali Aisha mendengar nama-nama sayur tersebut.

 

“Kita beli semua keperluan dahulu, selepas itu kita sarapan di kedai soto ayam. Ibu akan jelaskan waktu kita makan nanti.”

 

Puan Lia dan Aisha memesan soto ayam dan air teh.  Pada pendapatnya,  sarapan sangat penting, apatah lagi Aisha sedia untuk belajar mengenai sayur mayur yang baru dibeli.

 

 

“Eh, daun-daun ini kelihatan sama sahaja?” Aisha menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

 

Ibunya ketawa kecil. 

 

“Dulu, ibu juga sering terkeliru antara daun sup dengan daun ketumbar.”

 

“Oh, ayah pernah cerita,  ibu minta belikan daun sup,  tapi ayah tersalah beli.  Ibu merajuk sebab ayah bawa pulang daun ketumbar.”

 

“Mula-mula, Aisha tengok daun sup.  Bentuk daun sup sedikit lebar dan rata.  Sekarang, Aisha beritahu ibu mengenai bentuk daun ketumbar pula.”

 

“Hmm.  Daun ketumbar lebih kecil dan rimbun,” kata Aisha sambil membelek-belek dengan penuh teliti.

 

“Akar daun sup, saiznya kecil dan jenis serabut, akar daun ketumbar lebih panjang. Hampir serupa,” bisik Aisha sendirian.

 

“Aisha suka bau daun sup atau daun ketumbar?”  tanya Puan Lia.

 

Mengapa perlu bau?  Jika membeli sayur sawi dan kobis,  ibunya tidak minta dia mencium bau sayur tersebut.  Aisha semakin hairan.

 

“Daun-daun ini adalah dari kumpulan tumbuhan herba.  Baunya membangkitkan lagi aroma masakan,”  kata Puan Lia selepas menghirup kuah soto ayam.

 

“Arghhhhh  Aisha tak suka bau daun ketumbar ini, sakit hidung dibuatnya!”

 

“Daun sup ini lebih lembut baunya,” ujar Aisha sambil memeriksa akar daun sup.

 

“Cuba Aisha ceritakan semula,  supaya lebih ingat dan faham,” kata ibunya lagi.

 

“Batang daun sup lebih panjang dan besar,  manakala batang daun ketumbar lebih pendek dan kurus,”  Aisha menjelaskan dengan penuh keyakinan. 

 

“Wah, bijak anak ibu,  cepat betul ingat.  Jadi, Aisha suka daun ketumbar atau daun sup?” 

 

“Aisha suka daun sup lah ibu.  Baunya lebih lembut dan mewangikan soto ayam ini.  Patutlah nampak berselera ibu hirup kuah tu.  Ibu pun suka daun sup ya?”

 

Ibunya tersenyum puas kerana Aisha telah belajar sesuatu pada hari itu.

 

“Jadi,  bolehlah Aisha ceritakan perbezaan kedua-dua daun herba ini kepada ayah dan abang,” kata ibunya tersenyum simpul.

 

‘Sudah tentu. Ilmu mesti dikongsi, betul tak ibu?”

 

Ibu dan anak tersebut ketawa kecil sambil berpegangan tangan pulang ke rumah.





 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


1 comment:

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...