Friday, February 4, 2022

Beg Tangan 2 Ribu!



05.02.2022

 

Kali terakhir menjejakkan kaki di masjid ini ialah pada bulan Ramadan tahun lalu.  Kelihatan makin bersih dan ada perubahan dari segi susun atur perabot di ruang solat wanita.  Pendingin hawa semakin sejuk dan nyaman.

 

Sayang sekali,  jemaah wanita tidak seramai waktu sebelum wabak Covid-19 melanda.  Hanya ada 3 orang makcik yang aku kenali pada malam tersebut.

 

“Hai,  lama sangat kau tak datang masjid ni,  mimpi apa malam ni?  Mimpi menang loteri ke?  Mimpi duduk Brunei dapat gaji letup letup ke?”

 

Astaghfirullah.  Sekian lama tidak bersua muka,  begini pula bahasanya.

 

“Mak Nab apa khabar?  Nampak berseri-seri muka tu,” aku membalas tanpa memandang wajahnya. Sesungguhnya pelitup muka ini sangat berguna.  Ia benar-benar melindungi riak wajah yang kurang senang.

 

“Aku macam inilah.  Kencing manis tak turun-turun.  Kolestrol pula makin tebal. Hairan betul aku.  Dah makan segala jenis ubat,  masih tak sembuh.”

 

“Mak Nab kena jaga makan.  Kena berpantang macam lepas bersalin dulu.  Tak boleh ikut sahaja nafsu.  Semakin meningkat usia, semakin badan kita ni lemah, tak macam waktu Mak Nab anak dara.”

 

“Ishhh  bukan main kamu bercakap,  mengalahkan doktor di KK.”

 

“Satu lagi Mak Nab,  perlu jaga emosi.  Mak Nab tak boleh stress dan susah hati selalu.  Nanti badan Mak Nab tak kuat nak lawan kuman jahat.”

 

“Aku mana tau semua tu cik adik.  Aku mana ada stress.  Ada duit,  happy selalu.  Dapat shopping,  dapat makan sedap,  seronok lah aku.  Tak pernah aku stress.”

 

“Tapi ada lah stress sikit. Sejak laki aku sibuk dengan kolam ikan dia tu,  geram aku sebab dia tak bagi duit untuk shopping dah.”

 

“Mak Nab suka shopping apa?”

 

“Alaaaa duit pencen aku banyak dik.  Aku beli lah beg tangan tiap-tiap bulan.  Tak mahal pun,  dalam 500 ringgit je seutas.”

 

“MasyaAllah,  mahalnya harga beg tangan Mak Nab!  Tak mampu saya bayangkan kalau saya yang menggayakannya.” 

 

“Tiba-tiba Mak Nab menarik tanganku.  Mari sini dik, ikut aku pergi masuk kereta.”

 

“Eh,  ada apa Mak Nab?”

 

“Nah,  kau ambillah.  Aku hadiahkan.”

 

Mak Nab menarik tanganku dan meletakkan seutas beg tangan mewah berwarna merah manggis.

 

“Ambil.  Aku ada lagi 5 utas di rumah.  Yang ini harganya dua ribu ringgit dik.  Kau ambil.”

 

“Kenapa Mak Nab bagi saya hadiah mahal begini?  Seram saya.  Beg tangan saya harganya 20 ringgit sahaja.”

 

“Entahlah.  Aku rasa kau orang baik.  Aku cakap kasar-kasar dengan kau,  kau bagi nasihat pula.  Kau ambil.  Apa sahaja dalam beg ini,  kau ambil.  Tak payah seram dik, aku bukan hantu Kak Limah hahahaha.”

 

Pulang ke rumah, aku senyum-senyum melihat beg tangan mahal ini.  Wangi baunya.  Jahitan sangat kemas.  Tegap talinya,  ketat kancingnya.

 

Sebaik sahaja zip dibuka, ada not ungu sebanyak 5 helai.

 

Allahumma Ya Razaq.  Nikmat mana yang mahu kamu dustakan?





1 comment:

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...