Orang perempuan ni paling suka lagi
berbunga-bunga di hati apabila menerima pujian ‘nampak muda, makin cantik,
makin kurus, nampak bergaya, kulit
licin.’ Pergi lah ke mana-mana pun, lihat apa reaksi perempuan tu, mesti tersenyum simpul sambil berkata “ish
tak lah, biasa je”. Walhal dalam hati ada taman kembang
semangkuk.
Tapi kan,
pada aku, wanita zaman sekarang kebanyakannya bekerja, akan sentiasa berpakaian
elok dan bersolek walaupun nipis.
Jadi, memanglah akan nampak
muda. Lain lah kalau wanita tu bekerja
membanting tulang di bendang, memotong
getah dan bergelumang dengan getah sekerap setiap hari. Takkan lah nak pakai baju kebaya, tudung
lilit, bedak dan gincu kan?
Teringat zaman sekolah rendah dahulu, ada seorang wanita cantik yang sering datang
membeli kuih dari gerai emak. Pakaiannya
ke pasar sangat ‘stylo’ , seluar jeans
ketat, kasut tumit tinggi, bedak tebal,
gincu warna terang. Rambutnya
pula kerinting besar-besar, macam pakai topi keledar. Cermin mata hitam pula diletakkan atas
kepala. Bak kata orang zaman sekarang, bergaya meletup-letup!
Setiap kali wanita itu datang ke geraiku, sungguh terpegun dengan penampilannya. Kelihatan seperti dari golongan
bangsawan. Wajahnya ada iras Farah
Fawcett, pelakon dalam drama bersiri Charlie’s Angels.
Wanita tersebut sentiasa ditemani oleh anak
perempuannya yang berusia 19 tahun. Si
gadis itu pula, sangat berlainan penampilannya
berbanding ibunya. Rupa-rupanya gadis
bertudung litup itu kawan kepada anak jiranku.
Suatu hari,
aku ternampak gadis itu di rumah jiran.
Cepat-cepat aku ambil kesempatan untuk bertanya nama dan di mana dia tinggal.
“Nama saya Sarah, tinggal di hujung Blok A, makcik,” lembut tutur katanya.
“Mak ada di rumah? Makcik suka tengok mak
Sarah, nampak muda dan cantik pula. Berapa umur mak Sarah. Hari ini dia pakai baju apa?” Panjang pula aku soal siasat Sarah.
“Umur mak dah 59 tahun”,” jawab Sarah.
“Oh, dah
hampir 60 tahun, tapi nampak muda
bergaya macam anak dara,” jawabku agak
terlopong.
“Makcik,
sebenarnya saya malu mak saya bergaya begitu.”
“Eh, kenapa malu? Sarah patut bangga ada mak yang nampak muda
belia, pakaian cantik dan mahal, rambut
pula keperangan macam pelakon orang putih.”
“Makcik, mak saya dah tua. Saya lebih suka mak saya kelihatan tua sesuai
usianya. Saya mahukan seorang emak, bukan emak yang berusaha melawan arus usia.”
“Makcik,
saya perlukan seorang emak, bukan
anak dara.”
Sarah berlalu. Terasa pipiku dilempang kiri dan
kanan. Aduhhhhh!
No comments:
Post a Comment