Thursday, February 3, 2022

Kejutan dari Tadika Murni

03.02.2022


Kejutan dari Tadika Murni

 

Setelah hampir enam bulan menggangur,  seorang teman mencadangkan aku bekerja di sebuah tadika.  Pada saat itu,  apa sahaja kerja sanggup aku lakukan, demi kelangsungan hidup.

 

"Gaji yang ditawarkan ialah RM1200 sebulan.  Puan sanggupkah dengan gaji kecil ini?" tanya Cikgu Siti. 

 

Tanpa berfikir,  aku bersetuju.  Biarlah kecil, asalkan ada pendapatan bulanan.  Anak-anak di universiti perlukan belanja besar.  Dan pada fikiranku, tidak sukar mengajar kanak-kanak tadika.  Jam 2 petang aku sudah boleh pulang.  Biarlah gaji kecil,  berpadanan pula dengan kerja separuh hari. 

 

Isnin 4 April 2017,  aku melangkah masuk Tadika Murni dengan penuh bersemangat.  Walaupun mengajar bukanlah minatku,  namun aku masih menyangka menjadi guru tadika adalah kerjaya yang mudah sahaja.  "Yang penting ada gaji,  anak-anak perlu duit," bisik hatiku.

 

Kanak-kanak berumur 4 tahun diletakkan di bawah jagaanku.  Loceng dibunyikan tanda semua murid perlu beratur di dewan utama.  

 

"Cepatlah,  tak dengar ke cikgu panggil?  Kenapa degil sangat?"  Serentak dengan itu,  murid bernama Hadid ditampar di bahagian belakang.  Cikgu Aini menarik kolar baju Hadid kerana Hadid enggan bergerak ke dewan.

 

Allahuakbar!  Mengapa begini?  Aku benar-benar terkejut melihatkan kekasaran Cikgu Aini. 

Aku ketakutan.  Lebih mengejutkan,  Hadid hanya membatu.  Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.  Mungkinkah dia sudah biasa diperlakukan begitu? 

 

“Degil sangat,  memang kenalah dengan cikgu.”  Cikgu Nora pula tiba-tiba menyinga.  “Tak faham bahasa ke?  Dah berapa lama datang tadika ni,  suruh beratur pun degil,” terjerit-jerit Cikgu Fifi di pagi itu. 

 

Aku keliru.  Sekolah apakah ini?  Mengapa cikgu berdua ini tiada belas kasihan terhadap kanak-kanak?  Beginikah caranya mendidik kanak-kanak di awal usia?  Apakah mereka ini tiada pendidikan? 

 

Selesai perhimpunan,  murid-murid bersedia untuk belajar.  Aku buntu,  tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kanak-kanak bertempiaran di luar kelas,  aku tidak tahu bagaimana mengawal mereka.

 

“Hei,  masuk!  Masuk kelas!”  Kali ini Puan Bad pula membentak-bentak kanak-kanak yang sedang berlari di dewan utama.  Di tangan Puan Bad ada rotan panjang.  Dilibas-libasnya rotan itu untuk menakutkan semua murid. 

 

Puan Bad adalah pengusaha Tadika Murni.  Beliau berketurunan Pakistan tetapi sudah lama menetap di Kuala Lumpur.  Orangnya kurus tinggi,  memakai kaca mata,  gemar memakai jubah dan tudungnya sentiasa labuh.  Kata orang,  penampilannya sangat sedap mata memandang.

 

Aku sudah mula ragu-ragu.  Benarkah ini semua tadika yang sesuai untuk mendidik kanak-kanak?  Mengapa cikgu-cikgu yang aku jumpa,  termasuk Puan Bad,  tidak berlemah lembut dengan anak-anak murid mereka? 

 

Saya boleh pukul 5 petang ke Puan Bad? Hatiku resah.  Aku tidak boleh balik jam 2 petang,  dan kini sudah jam 4.55 petang,  aku masih perlu membantu kanak-kanak membersihkan diri mereka.

 

“Awak kena kerja hingga jam 6.30 petang.  Ini sudah tertulis dalam surat tawaran,”  jawab Puan Bad sambil tersenyum pahit.

 

Kejutan demi kejutan aku lalui. Gaji RM1200, tetapi perlu bekerja hingga jam 6.30 petang?

 


No comments:

Post a Comment

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...