02.02.2022
Lepas cuti, cuti lagi. Minggu lepas cuti, 2 minggu lagi cuti. Bulan depan cuti, bulan satu lagi cuti lagi.
Cuti panjang begini hamba lebih suka berada di rumah. Sejenis tidak suka bersesak di jalan raya, di mall, tandas awam, kedai makan, lebuh raya dan sewaktu dengannya.
Berada di rumah bermakna ditemani oleh gajet dan idiot box. Hamba suka membiarkan idiot box beraksi, semata-mata inginkan sedikit bunyi-bunyian. Jarang sekali hamba menghabiskan masa menonton apa jua cerita.
Kebetulan pagi semalam ada drama melayu. Sambil menaip, sambil hamba pasang telinga.
Alamak! Beberapa kali hamba dengar perkataan "ceraikan saya, ceraikan saya, ha, apa tunggu lagi, ceraikan lah!" Maka hamba pun menoleh ke arah skrin. Kelihatan wanita cantik jelita berpakaian ketat sedang mencabar suami agar segera menjatuhkan talak. Hamba pun berlalu, membiarkan idiot box memuntahkan kebejatan manusia.
Menjelang Maghrib, sekali lagi hamba dengar perkataan cerai. Kali ini seorang lelaki kacak ganteng mengugut akan menceraikan isterinya jika tidak mengikut kehendaknya.
Waktu malam pula, dikisahkan seorang wanita dirogol ayahnya sendiri lalu dihalau oleh ibu kerana membuat tuduhan palsu.
Dan ada satu lagi drama, wanita yang memegang peranan ibu, penampilannya seperti teman wanita kepada anak lelaki sendiri.
No comments:
Post a Comment