Saturday, March 12, 2022

Cikgu "Racist!"

 Di Tadika Murni, ada seorang guru berbangsa Tionghoa yang menjadi kesayangan dan kebanggaan Puan Bad. Berumur 55 tahun, berbadan besar, suara seakan halilintar dan yang paling Puan Bad sukai, Madam Chee seorang yang garang.


Jarang sekali Madam Chee bermesra, senyum, bermain-main dengan semua anak-anak Tadika Murni. Objektif wanita ini hanya satu, iaitu semata-mata mengajar. Dia tidak endah jika anak muridnya tiada makanan untuk bersarapan. Jika anak-anak membawa sarapan berat seperti nasi lemak, mihun/mi/kueytiau goreng, beliau akan mencebik dan mengatakan “you makan sahaja banyak, makan minyak-minyak, belajar tak mahu, bodoh”.

Kerana kelasku bersebelahan dengan kelas Madam Chee, aku tahu setiap inci perlakuannya. Seringkali dia marah kepada anak muridnya yang makan nasi lemak lalu tertumpah sambal di atas meja belajar. Seawal usia 6 tahun mereka dibentak-bentak untuk membersihkan meja. Dihukum tidak boleh bersarapan juga perkara biasa, kerana beliau marahkan anak murid yang tidak boleh membaca atau tidak membuat “homework”.

“Adam, mari masuk kelas cikgu. Makan biskut ni.” Perlahan-lahan Adam masuk ke kelasku, takut dimarahi Madam Chee.

“Cepat, siapa belum makan, datang sini ambil biskut.” Apabila Madam Chee pergi ke dapur, aku cepat-cepat mengajak muridnya mengambil biskut dari kelasku.

Aku juga ketakutan, kerana Madam Chee adalah “side kick” terkuat Puan Bad. Aku membayangkan diriku seperti tikus tanah yang jatuh ke dalam longkang. Sudahlah bulu badan habis basah, berbau busuk pula. Tak mampu nak buat apa-apa untuk menolong anak-anak Tadika Murni.

Mengapa tadika yang gah ini menyimpan seorang guru seperti Madam Chee? Dia juga seorang yang ‘racist’. Kadang kala aku terdengar dia memarahi anak-anak muridnya dengan kata-kata kesat terhadap orang Melayu.

“You orang Melayu ha, sangat malas. You makan saja tahu, belajar bodoh. Ini macam pun tak tahu ka? You duduk rumah buat apa? Tidur saja kah?”

Aku yakin Puan Bad faham benar kelakuan Madam Chee. Namun pada pendapatku, Puan Bad juga kurang berani untuk menegur kesalahan “side kick” nya itu.

Puan Bad pun sama, tunduk patuh dengan Madam Chee.

“Dia panggil saya ular.” Whatsapp Cikgu Siti menjengah lagi ketika hampir tengah malam. Inilah satu-satunya cara untuk kami berkomunikasi dengan bebas dan selamat.

Ya, di Tadika Murni, cikgu-cikgu tidak boleh berbual sesuka hati kerana sentiasa berada di bawah pengawasan Puan Bad dan konco-konconya.


No comments:

Post a Comment

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...