Sunday, February 27, 2022

Ikut Cakap Saya

 



Selepas mandi dan solat Asar, semua murid tadika akan bersila menonton televisyen. Cara guru-guru di sini memanggil mereka dan menyuruh mereka berbaris juga sangat menakutkan. Mereka dikerah dengan kasar, jika lambat atau enggan menurut kata, mereka pasti dimarah dan ditampar di bahagian belakang badan.
.
Anak-anak jagaanku hanya menurut sahaja arahan Cikgu Aini dan Nora. Seperti ayam berak kapur, tunduk dan mengikut sahaja.
.
“Berbaris elok-eloklah, kenapa bengkang bengkok? Kalau degil sangat cikgu panggil Puan Bad, baru padan muka awak!” Bentak Cikgu Nora.
.
Anak-anak ini tahu, jika dikehendaki mengadap Puan Bad, bermakna akan disoal siasat, dimarahi, ditampar dan perlu mendengar leteran panjang.
.
“Hahahaha, kan bagus macam ini, ikut cakap cikgu, semua selamat. Ini kem tahanan, faham? Cuba duduk diam-diam. Tak payah bergerak sana sini. Pandang je TV tu,” kata Cikgu Aini dalam nada tinggi.
.
Aku tunduk. Tidak tahu bagaimana mahu menegur cara didikan guru-guru muda itu. Mereka masih muda, berusia 22 tahun dan cantik rupa paras. Namun, akibat sering membentak, menjerit dan marahkan murid, hilang sudah semua yang molek dan indah.
.
“Kenapa Aini selalu marah-marah, tak penat ke? Kasihan kat budak-budak ni, selalu kena marah,” aku cuba memancing perbualan dengan Aini.
.
“Aini sebenarnya tak suka nak marah-marah cikgu. Tapi kalau kita tak disiplinkan budak macam ini, Puan Bad marah kepada kita pula. Dia tuduh kita manjakan budak-budak, bagi muka dan rosakkan mereka. Pada dia, cara terbaik nak bentuk budak-budak ni ialah dengan pukul, rotan dan marah. Saya ikut sahaja kehendak boss.”
.
“Masa saya mula-mula datang sini, saya juga macam cikgu, takut-takut dan tertekan tengok budak-budak kena pukul. Dah setahun di sini, saya pun dah ikut acuan Puan Bad. Seronok pula tengok budak-budak takutkan kita, ikut sahaja arahan, tak pening kepala nak jaga mereka,” jelas Cikgu Aini sambil ketawa kecil.
.
Denyutan jantungku pantas, panas dadaku mendengar kata-kata Cikgu Aini.
.
Tiada padang permainan di tadika ini. Barang mainan juga sangat terhad. Puan Bad sangat menekankan soal akademik. Pada pendapatnya, anak-anak tidak perlu bermain kerana mereka perlu menguasai kemahiran membaca menulis mengira pada umur 6 tahun. Ini janji beliau kepada semua ibu ayah pada hari pertama persekolahan.
.
“Main, mainnnn, maaaaiiinnnn je yang kamu tahu? Kenapa awak biarkan budak-budak ni pijak kepala awak? Ajar mereka membaca sekarang. Berhenti mewarna. Kemaskan meja dan bersedia untuk baca buku!”
.
“Saya kasihan tengok budak-budak ini belajar dari awal pagi, Puan. Saya fikir selepas Asar ini bagus biarkan mereka bermain dan berlari dengan kawan-kawan. Bagi keluar peluh dan rehatkan minda,” aku menjawab dengan teragak-agak.
.
“Tak payah. Ini sekolah, bukan tempat bermain. Saya dah janji dengan ibu ayah mereka. Di tadika ini, semua murid mesti boleh membaca, mengira dan menulis dengan baik. Nak bermain di rumah, bukan di sini.”
.
“Cikgu baru lagi di sini. Tak faham lagi cara kerja yang betul. Kalau budak-budak ini tak ikut arahan, boleh pukul dan cubit, tetapi jangan sampai meninggalkan kesan merah-merah. Kalau ada kesan, nanti ibu ayah marah kepada saya pula."
.
“Kalau nak kerja di sini, ikut sahaja cakap saya.”
.
Puan Bad benar-benar marahkan aku.
.
Waktu ini, dunia ku rasakan gelap.


No comments:

Post a Comment

Kurang Ajar!

  "Awak kena ganti biskut yang budak-budak habiskan ini,”   terbeliak mata Puan Bad melihat tin biskut kepunyaan Faris sudah kosong. ...